BALING, 5 Ogos – Luang Masa……… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Taman Insaniah Kuala Ketil dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang sebelum itu merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Baling di Kompleks Belia Batu 42, disambut Mashitah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling dan suaminya, Datuk Abdul Shakor Abu Bakar.

Ahmad Zahid turut menepung tawar kedua-mempelai, Fatin Sajeeda, 26, dan pasangannya Khairul Asri Ishak, 26 yang diijabkabulkan pada 7 Julai lalu di Gombak, Selangor.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis itu, Naib Presiden UMNO tersebut berharap penduduk di kawasan Parlimen Baling dan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Ketil, Bayu dan Kupang,  terus memberi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kami (UMNO/BN) telah melakukan yang terbaik untuk rakyat, justeru saya berharap agar kita sama-sama terus menyokong kemimpinan Malaysia, negeri Kedah dan Parlimen Baling.

 

“Bahkan tidak kira sesiapa sahaja yang akan dipilih (bertanding) di DUN Kuala Ketil, Bayu dan Kupang, jangan tukar warna, pilih warna kita (UMNO/BN) untuk meneruskan pembangunan di Baling,” katanya.

Kedua-duanya yang bertugas sebagai akauntan di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, memutuskan untuk menamatkan zaman bujang selepas berkenalan selama hampir enam tahun.

Kira-kira 2,500 tetamu hadir memeriahkan kenduri tersebut.  – WD MY