BUKIT JALIL, 19 Julai – Meriahkan…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) 2017 di sini, hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 6 petang bagi menyertai lebih 8,000 tetamu dalam kalangan Jemaah Menteri, kakitangan KBS, ahli politik dan orang awam yang turut memeriahkan majlis di Axiata Arena, Kompleks Sukan Bukit Jalil.

Ketibaan Ahmad Zahid disambut Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam menikmati juadah serta menyaksikan persembahan daripada artis tempatan sebelum meninggalkan majlis kira-kira jam 7 malam.

Antara atlet yang memeriahkan rumah terbuka itu adalah jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei; raja pecut Khairul Hafiz Jantan; ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek; bekas pemain beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek dan Abdul Rahman Sidek serta bekas atlet berbasikal kebangsaan, M Kumaresan.

Majlis yang dijangka berakhir jam 10.30 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan, antaranya Mawi, Altimet dan Khai Bahar. – WD MY