MELAKA, 26 Jun – Meriahkan….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri rumah terbuka Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad sempena Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri tiba kira-kira pukul 3.30 petang, meluangkan hampir satu jam bersama lebih 7,000 hadirin yang disajikan pelbagai juadah termasuk nasi lemak, roti canai, rendang dan mi goreng di Taman Ayer Molek di sini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam dan barisan exco kerajaan negeri Melaka.

Terdahulu, Othman ketika ditemui media berkata kehadiran pemimpin kedua negara itu menyerikan sambutan rumah terbuka yang dianjurkannya dan keluarga selain ia memberi suntikan semangat kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

Beliau berkata kehadiran pelbagai kaum di rumah terbukanya itu menunjukkan semangat perpaduan yang masih utuh dalam kalangan masyarakat di negeri Melaka dan ia menjadi teras penting pada kejayaan BN untuk memenangi semula Parlimen Bukit Katil.

“Perpaduan adalah penting untuk memenangi semula Parlimen Bukit Katil pada pilihan raya akan datang. Sokongan daripada satu kaum sahaja tidak mungkin boleh membantu kejayaan BN,” katanya. -WD MY