PAPAR, 23 Mac – KUAT……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua jentera Barisan Nasional (BN) di Sabah berkerja dengan lebih kuat, laju dan keras menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Beliau berkata semua jentera parti BN di seluruh negara sudah bekerja sejak lebih tiga tahun lepas dan kerja keras itu perlu dipertingkatkan lagi.

“Bila kita telah bekerja sejak tiga tahun lepas, ertinya kita sudah belari-lari dalam politik maraton. Dalam pelarian yang jauh ini, kita perlukan stamina dan kini kita sedang hampir ke garis penamat.

“Kita sedang menghitung hari untuk berdepan dua hari penting iaitu hari pembubaran dan hari penamaan calon. Tetapi, hari yang paling penting selain dua tarikh itu adalah hari pembuangan undi,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberi amanat kepada anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Papar di sini, malam ini.

Beliau berkata semua jentera BN perlu lebih bersemangat untuk menandangi parti pembangkang pada PRU14 nanti.

“Yakin dan percayalah bahawa orang yang suka dengan kita (BN) adalah lebih ramai daripada orang yang tidak sukakan kita. Saya amat yakin bahawa kumpulan senyap juga lebih ramai dan mereka tidak timbulkan diri kerana mereka berada di atas pagar.

“Tetapi, kita sebagai pemimpin harus mendekati mereka. Kita perlu fokus melakukan kerja sehingga penamat iaitu pada hari pilihan raya…kita perlu berada di barisan hadapan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pelbagai kaedah boleh digunakan untuk mendekati rakyat dan membuatkan mereka mahu bersama dengan BN. – WD MY