SERDANG, 26 Ogos – KEPERCAYAAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta kaum Cina di negara ini, menaruh keyakinan serta memberi kepercayaan kepada kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk membela nasib mereka.

Ahmad Zahid berkata, selama ini, kaum Cina banyak dimanipulasi pelbagai dongeng oleh pembangkang, yang sekadar mahu menanam kebencian dalam kalangan mereka untuk menukar kerajaan yang dinaungi kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pembangkang cuma tahu menyebarkan dakyah berunsur kebencian, bahawa kerajaan sedia ada gagal mentadbir negara yang mempunyai pelbagai kaum.

“Ada negeri yang pembangkang berkesempatan mentadbir kerajaan negeri pun nampak (keadaan) tidak baik berbanding dahulu.

“Saya seru orang bukan Melayu khususnya masyarakat Cina, supaya memainkan peranan dengan memberitahu keluarga dan rakan supaya berhenti dan sedar bahawa mereka sebenarnya telah dimanipulasi oleh pembangkang.

“Jadi, kembalilah kepada BN. Ini terbukti berdasarkan banyak program yang kita laksanakan demi membela nasib dan hak kaum minoriti di negara ini,” katanya ketika berucap di majlis Anugerah Kecemerlangan Wanita Cina yang dihadiri lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cina di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kerajaan sentiasa berusaha menyelesaikan isu kewarganegaraan yang tercicir dalam kalangan kaum Cina yang benar-benar berkelayakan di negara ini, sekali gus mengiktiraf hak mereka.

“Kita tegaskan di sini, hak sesuatu kaum tidak boleh dinafikan. Ini jelas terbukti apabila transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri dilakukan dengan cukup baik untuk masyarakat di negara ini,” katanya. – WD MY