BAGAN SERAI, 25 Mac — MESYUARAT…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan perjumpaan tertutup ahli jawatankuasa empat peringkat bersama kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) Parlimen Parit Buntar dan Bagan Serai.

Ahmad Zahid diiringi Ketua UMNO bahagian Parit Buntar Datuk Abu Bakar Md Ali dan Ketua UMNO bahagian Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie tiba kira-kira pukul 1.45 petang di Dewan Merdeka Parit Buntar di sini.

Terdahulu, beliau yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timba­lan Presiden UMNO turut meluangkan masa bersalaman dan beramah mesra bersama jentera-jentera BN yang hadir.

Hadir sama dalam perjumpaan itu, Pengerusi BN Negeri yang juga Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pertemuan kira-kira 1 jam itu antara lain menyentuh soal persiapan BN kedua-dua parlimen itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Ahmad Zahid seterusnya menghadiri program pemimpin bersama rakyat daerah Kerian di Dataran Kerian Permai di sini. – WD MY