MUAR, 12 Ogos – Matang….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata politik matang yang dipamerkan oleh UMNO Pagoh harus diterima dan dihormati bukan sahaja oleh barisan pemimpin UMNO Johor tetapi juga pemimpin UMNO di seluruh negara.

Ahmad Zahid berkata beliau juga memahami anggota UMNO Pagoh sedang berdepan ujian sukar dengan sesetengah daripada mereka masih bernostalgia tentang bekas pemimpin yang pernah berjasa di bahagian itu.

Namun, pemangku Ketua Bahagian, Ismail Mohamad berjaya mentransformasikan minda politik rakyat Pagoh, khususnya anggota dan kepimpinan parti, kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh dekat sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad Zahid yang turut menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, berkata kehadirannya di Pagoh adalah kerana tanggungjawabnya terhadap parti untuk terus menghidupkan dan merelevankan UMNO di sini.

“Apatah lagi dengan adanya sesetengah daripada kita yang masih bernostalgia dan tidak berpijak di bumi yang nyata, tentu keberadaan saya di sini adalah untuk menukar persepsi, menukar tanggapan daripada negatif kepada positif,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata ketaksuban kepada pemimpin tidak seharusnya berlaku, sebaliknya anggota UMNO harus lebih setia dan taksub kepada organisasi memandangkan putaran hayat politik sentiasa berbeza mengikut situasi.

Katanya anggota UMNO harus belajar daripada situasi pada 1988 yang menyaksikan perpecahan parti akibat ketaksuban anggota parti terhadap seseorang.

“Rasa kekitaan kita bukan kerana taksub kepada pemimpin walaupun pemimpin itu tidak lagi berada dalam parti kita, ketaksuban kita adalah ketaksuban kepada organisasi iaitu parti kita UMNO yang menjadi hakikat ketika itu dan kini sedang diterjemahkan oleh anggota UMNO Pagoh ini,” kata beliau.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota UMNO untuk terus berusaha dengan gigih bagi memenangi hati dan minda masyarakat Pagoh tanpa mengira bangsa dan agama dalam usaha memenangi kerusi Parlimen Pagoh.

“Insya-Allah, kita akan bangkit semula sebagai entiti politik yang diterima semula oleh rakyat bukan setakat Johor tetapi seluruh negara,” kata beliau. – WD MY