KUALA LUMPUR, 5 Dis – RASMIKAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Ahmad Zahid mahu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO melakukan gerak kerja secara holistik dalam usaha Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata BN meletakkan matlamat besar untuk bukan sahaja memenangi PRU14 bagi membentuk kerajaan dengan majoriti mudah melalui Sistem First-Past-The-Post, sebaliknya memperoleh penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan majoriti yang jauh lebih besar.

“Ketahuilah wahai bangsaku, satu undi kepada BN bermaksud satu undi kepada pembentukan sebuah kerajaan Persekutuan yang berwibawa dan bertanggungjawab.

”Tidak boleh tidak, kita wajib mengekalkan semua kerusi yang kita menangi dan merampas semula kerusi yang telah terlepas kepada parti pembangkang sebelum ini. Kita harus ‘retain and regain’ (kekalkan dan merampas semula) semua kerusi yang kita sasarkan,” katanya.

Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Sayap-sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017. – WD MY