BAGAN DATUK, 14 Feb – WAKAF…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyarankan umat Islam di negara ini yang berhasrat mewakafkan tanah dan harta untuk tujuan kebaikan harus menyediakan dokumentasi mengikut perundangan.

Beliau mengutarakan saranan itu bagi memastikan tidak berlaku tuntutuan atau pertikaian daripada waris pemilik tanah.

“Bila seorang yang hendak mewakafkan hartanah kena ikut perundangan. Kita ada Kanun Tanah Negara, Baitulmal dengan Undang-undang Agama Islam setiap negeri.

Jadi, perkara-perkara yang ada melibatkan aspek perundangan seperti wakaf ini tidak boleh dilakukan dengan niat sahaja, sebaliknya ia perlu didokumentasikan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama masyarakat setempat dan kariah Masjid Ubudiah di Parit 19 di Hutan Melintang petang ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata banyak tanah wakaf di negara ini tidak dapat dibangunkan akibat timbul pertikaian dan tuntutan daripada waris berikutan nilai hartanah berkenaan yang tinggi.

“Ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nilai tanah wakaf pada 2009 adalah RM9 bilion mengikut nilai pasaran dan mungkin pada masa ini, nilainya meningkat 30 atau 50 peratus.

“RM9 bilion itu (tanah wakaf terbiar), jika tidak dibangunkan ia akan menjadi tanah terbiar dan ini amat merugikan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 10 minit melawat Sekolah Agama Rakyat (SAR) Al-Ridzuan, Parit 19, Hutan Melintang.

Beliau yang tiba kira-kira 6.15 petang disambut mesra 127 murid, guru dan kakitangan sekolah serta dibawa meninjau perkarangan sekolah itu yang mempunyai enam buah kelas.

Ibu bapa pelajar turut sama meraikan kehadiran Ahmad Zahid di sekolah itu.

Timbalan Perdana Menteri kemudiannya dibawa melawat Kedai Koperasi Masjid Ubudiah dan minum petang bersama penduduk di perkarangan masjid tersebut yang terletak bersebelahan dengan sekolah itu. – WD MY