BAGAN DATUK, 28 Jan – HIDANGAN….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Soto, pecal dan pengat pisang menjadi antara hidangan utama pada Majlis Sepetang bersama di Kampung Sungai Tiang Darat petang tadi.

Hidangan tradisi yang popular dan sinonim dengan masyarakat Melayu dan Jawa di daerah ini dijamu pada majlis yang diadakan di pekarangan rumah Ketua UMNO Cawangan Sungai Tiang Darat, Fauzi Siraj, di sini.

Fauzi, 60, berkata ini adalah program minum petang pertama Ahmad Zahid selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk di kampung berkenaan.

“Program ini dihadiri penduduk dan ahli UMNO membabitkan lima cawangan iaitu Kampung Sungai Tiang Darat, Kampung Sungai Tiang Tengah, Tebuk Kiai Suyut, Tebuk Imam Tasir dan Tebuk Che Maja,” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, penduduk di daerah itu harus mengekalkan makanan tradisi sebagai antara usaha menarik kehadiran pelancong khususnya dari luar negara.

Beliau berkata, penduduk setempat mungkin menganggap makanan seperti pecal dan air kelapa muda sebagai biasa, namun pelancong asing melihatnya luar biasa.

Justeru, beliau meminta penduduk di daerah itu mengambil kesempatan daripada pembangunan yang semakin pesat di Bagan Datuk seperti menyediakan inap desa kepada pelancong.

Ahmad Zahid menetapkan sasaran 500 inap desa disediakan di seluruh daerah itu berbanding 200 inap desa di Dewan Undangan Negeri Rungkup ketika ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia bersetuju membuka kilang pemasangan kenderaan berat seperti lori dan trak di daerah itu.

Katanya, syarikat berkenaan kini dalam proses rundingan untuk membeli tanah seluas 160 hektar di kawasan berhampiran jambatan baharu Bagan Datuk-Sejagop dekat sini.

“Kilang ini dijangka membuka kira-kira 4,000 peluang pekerjaan dengan keutamaan akan diberikan kepada penduduk Bagan Datuk,” katanya. – WD MY