SERDANG, 3 Dis – SERU…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru penunggang motosikal agar lebih berdisiplin di jalan raya supaya golongan itu tidak terus menjadi penyumbang kepada peratusan tinggi jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya.

Menyifatkan dirinya juga seorang penunggang motosikal yang aktif sejak 40 tahun lalu, beliau berkata golongan berkenaan harus mengubah persepsi masyarakat yang sering menganggap mereka sebagai penyebab utama berlakunya kemalangan jalan raya.

“Malah saya juga dulu pernah dikatakan dalang utama penyebab kemalangan jalan raya. Saya dilemparkan pandangan yang buruk kerana saya mewakili penunggang motosikal.

“Kali ini saya bersama saudara-saudari membuktikan kepada masyarakat bahawa kita bukan penyumbang kepada peratusan kemalangan jalan raya,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan program Gegar Anak Seni dan Bikers 2017 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kerajaan amat prihatin terhadap isu kemalangan jalan raya dan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan, antaranya dengan menaik taraf unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata unit itu yang dahulunya diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM, dinaik taraf menjadi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pada tahun lepas.

“Kenaikan taraf unit itu kepada sebuah jabatan memperlihatkan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya terutamanya melibatkan motosikal,” katanya. – WD MY