BEIJING, 27 Sept  – PENDAPAT…… Kerajaan Malaysia akan terus menyuarakan isu penindasan etnik Rohingya di Myanmar dan mengajak dunia menyalurkan bantuan kemanusiaan terhadap pelarian etnik berkenaan yang kini berlindung di Bangladesh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata beliau telah menyuarakan pandangan Malaysia itu semasa bertemu dengan Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu.

“China menyatakan bahawa pihaknya telah menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya yang berlindung di Bangladesh berjumlah US$10 juta melalui kerajaan Bangladesh,” katanya kepada media pada hari terakhir lawatan kerja sejak Isnin di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata memandangkan China merupakan negara jiran yang bersempadan dengan Myanmar, Malaysia memohon supaya kerajaan republik itu memainkan peranan konstruktif dan diplomatik dalam menangani isu kemanusiaan yang semakin meruncing di Rakhine.

Menyentuh peranan INTERPOL, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mencadangkan INTERPOL memberikan bantuan aspek keselamatan kepada negara-negara yang menjadi sasaran jenayah rentas sempadan dan aspek keselamatan siber.

Beliau berkata antara bantuan yang boleh diberikan ialah seperti latihan berterusan kepada polis di negara-negara sedang membangun dan mudah dibolosi dengan perlakuan jenayah rentas sempadan.

“Ini seperti mempertingkatkan kemudahan-kemudahan yang merentasi kemampuan pihak penjenayah terutamanya daripada segi perkongsian biometrik dan perkongsian maklumat data besar, (satu keperluan) yang harus ada pada negara-negara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mahu INTERPOL, yang berfungsi memberikan kerjasama dalam aspek keselamatan siber dan membantu mengatasi pelbagai jenayah rentas sempadan, terus berperanan sebagai sebuah pertubuhan penting di dunia.

Beliau menyifatkan INTERPOL, yang dianggotai 158 negara dengan sejumlah 12 juta anggota polis, itu sebagai entiti kedua terbesar selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“PBB mempunyai Perhimpunan Agungnya dan INTERPOL juga mempunyai Perhimpunan Agung yang diadakan setiap tahun dan dihadiri oleh Ketua-ketua Polis Negara serta setiap dua tahun dihadiri oleh Menteri Dalam Negeri,” katanya. – WD MY