KUALA LUMPUR, 25 Okt – KUNJUNGAN……Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan daripada Duta Vietnam ke Malaysia Le Quy Quynh di pejabatnya di Bangunan Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid berkata sejak menjalin hubungan diplomatik pada 1973, hubungan dua hala Malaysia dan Vietnam telah berkembang baik secara substantif dengan kedua-dua pihak menikmati kerjasama erat dalam pelbagai sektor.

“Berikutan Malaysia dan Vietnam bakal menyambut ulang tahun hubungan diplomatik ke-45 pada 2018, Malaysia yakin hubungan kedua-dua negara boleh dipertingkatkan dalam bidang-bidang utama seperti perdagangan dan pelaburan, kewangan, pertahanan dan keselamatan, pertanian, pendidikan, buruh, tenaga, kebudayaan, belia dan sukan serta pelancongan dan pengangkutan, demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara meningkat tiga kali ganda bagi tempoh 10 tahun lepas dan mencatatkan jumlah sebanyak US$10.3 bilion pada 2016.

Berikutan pemeteraian Perkongsian Strategik Malaysia-Vietnam pada 2015, kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan jumlah perdagangan dan pelaburan dua hala kepada US$15 bilion pada 2020, katanya. – WD MY