MANILA, 20 Sept – TIBA…..Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini Selasa untuk menghadiri Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-11 dan Mesyuarat Berkaitan.

Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada pukul 8 malam, bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis.

Ketibaan beliau disambut Duta Besar Malaysia di Filipina Datuk Raszlan Abdul Rashid dan para pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Sejurus tiba, Ahmad Zahid akan menghadiri mesyuarat pramajlis dengan para pegawai kanan Malaysia di Comrad Manila Hotel di sini – venue rasmi mesyuarat empat hari itu.

Hari ini beliau dijadual menghadiri upacara perasmian mesyuarat itu dan sidang pleno di hotel sama.

 

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dijangka berkongsi pandangan Malaysia tentang pelbagai isu berkaitan jenayah rentas sempadan seperti keganasan, pengedaran dadah, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram, kegiatan lanun, penyeludupan senjata, jenayah siber dan jenayah ekonomi.

Antara acara utama mesyuarat itu ialah Mesyuarat Khas Kedua Menteri ASEAN Mengenai Peningkatan Radikalisasi dan Eksremisme Ganas (SAMMRRVE) untuk menyediakan platform bagi negara anggota ASEAN bertukar-tukar pengalaman, pendapat dan idea tentang amalan terbaik dalam menangani isu radikalisasi dan ekstremisme ganas.

ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Filipina, Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar. – WD MY