TAWAU, 22 Julai – Bantuan…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa Kerajaan Persekutuan memberi bantuan RM2 juta untuk membina semula Pasar Gantung yang musnah terbakar pada 14 Julai lepas.

Timbalan Perdana Menteri mengumumkan perkara itu pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kumpulan Rastamas.

Beliau berkata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah meminta kerajaan persekutuan prihatin dengan nasib pemilik 77 gerai yang musnah terbakar dalam kejadian itu.

“Musa membisik kepada saya bahawa terdapat 77 gerai di Pasar Gantung Tawau terbakar dan meminta keprihatinan kerajaan persekutuan.

Maka, saya umumkan bantuan kerajaan persekutuan RM2 juta untuk membina semula gerai ini dan saya berharap mereka (peniaga) dapat berniaga semula,” katanya.

Beliau meminta Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Unit Pembangunan Negeri Sabah melaksanakan kerja baik semula pasar gantung itu dengan segera.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Pengarah Urusan Kumpulan Rastamas Datuk Tahir Picu.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid memuji usaha syarikat Kumpulan Rastamas yang mengimbangi sumbangan sosial korporat mereka dengan memberi banyak sumbangan amal jariah di negara ini khususnya di Sabah.

“Ia contoh yang baik apabila rezeki itu kita kongsikan dengan mengikut syariat Islam bahawa 2.5 peratus daripada pendapatan bersih harus diketepikan untuk diberikan kepada golongan asnaf,” katanya.

Di majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan raya daripada Kumpulan Rastamas kepada anak yatim dari Rumah Ar Raudhah.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Biro Ekonomi UMNO Tawau serta Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah kepada 77 pemilik gerai yang musnah dalam kebakaran di Pasar Gantung.

Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian replika cek TEKUN bernilai RM279,000 daripada Pengurus Besar TEKUN Sabah Salim Abidin kepada peminjam mangsa kebakaran yang juga pemilik gerai yang terbakar di pasar itu.

Sebelum itu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 20 minit di rumah terbuka Aidilfitri Persatuan Komuniti Bugis Sabah (PKBS) yang dihadiri kira-kira 1,000 komuniti Bugis di sini. – WD MY