BAGAN DATUK, 31 Mac — KENAIKAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan elaun anggota lain-lain pangkat dan pegawai Askar Wataniah masing-masing daripada RM6 kepada RM8 dan RM7.80 kepada RM9.80 sejam.

Beliau berkata kenaikan elaun itu bagi menghargai jasa dan kesetiaan anggota dan pegawai askar Wataniah di seluruh negara sebagai benteng kedua menjaga keselamatan negara.

“Saya umumkan elaun bagi pihak Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) dinaikkan dengan rasminya.

Elaun dibayar mulai (sama tarikh) Perdana Menteri mengumumkan kenaikan elaun Rela (tarikh umum 10 Mac), ertinya mana-mana pegawai yang bertugas sebelum ini harus dibayar penuh mengikut elaun yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Gelombang Askar Wataniah Zon Tengah di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk.

 

Bercakap mengenai Kem Tentera Hutan Melintang, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk menyifatkan pihak yang mendakwa pembinaan kem tersebut bertujuan untuk kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih Hutan Melintang dan menambah undi bagi Parlimen Bagan Datuk adalah naif.

“Sebenarnya mereka naif, mereka tak tahu ini (pembinaan) adalah strategi Kementerian Pertahanan kerana kem yang terdekat adalah di Sungai Besi dan Subang manakala di sebelah utara adalah (Pangkalan) Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut tetapi di tengah-tengah tak ada.

“Dari segi geostrategik, Bagan Datuk perlu ada kem Angkatan Tentera Malaysia, ia adalah untuk menterjemahkan stategi pertahanan ATM,” katanya sambil menambah kem itu telah 50 peratus siap.

Beliau berkata pembinaan kem tersebut tiada kaitan dengan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) atau PRU14, sebaliknya ia dibina ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan dengan kerjasama Sime Darby dan kelulusan kerajaan negeri.

“Ia tiada kena mengena dengan matlamat politik. Kita nak bagi tahu pada puak-puak yang tidak bersetuju dengan ATM jangan merendahkan tentera, askar wataniah dan PLKN (Program latihan Khidmat Negara),” katanya. – WD MY