KELANA JAYA, 25 Nov – UMUM…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semanjung.

Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Pelaksanaan aktiviti dan program 2018 Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.

Beliau juga menyokong penubuhan Suruhanjaya Pendidikan yang dicadangkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi memandu sistem pendidikan negara supaya lebih konsisten dan berada pada landasan tepat.

Suruhanjaya itu boleh berperanan sebagai entiti yang mengekalkan segala dasar pendidikan walaupun berlaku perubahan kepemimpinan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Ahmad Zahid berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan sedia ada yang melihat dari skema pendidikan tidak mencukupi dalam mengungguli isu pendidikan negara, sekali gus memastikan menteri baharu yang mengambil alih portfolio pendidikan mematuhi dasar dan keputusan Suruhanjaya Pendidikan.

“Saya sokong jika penubuhan Suruhanjaya Pendidikan mahu diusulkan supaya segala dasar dapat ditentukan suruhanjaya ini yang melihat kepada kepentingan dasar pendidikan negara atau dasar berkaitan.

“Jangan sering kita mengubah dasar apabila menteri berubah. Jangan jadikan murid dan pelajar untuk dimasukkan dalam makmal ujian, mereka bukan bahan uji kaji, mereka adalah aset yang harus diperkasakan.

“Jangan ada agenda peribadi dalam sektor pendidikan, jangan ada pemikiran sempit, kita kena bangunkan bangsa kita dan negara kita di persada yang lebih memuncak dan menjanjikan pemerkasaan untuk pencapaian mobiliti sosial yang bersifat vertikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Agung Tahunan GPMS Ke-63 di Komples Tabung Haji Kelana Jaya, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang ada ketika ini hanya menyemak skima pendidikan.

Justeru, Suruhanjaya Pendidikan akan dapat menjamin agenda pendidikan nasional dapat dicapai khususnya dalam wawasan negara merealisasikan Transformasi Nasional 2050.

“Jangan jadikan murid dan pelajar kita dimasukkan dalam makmal ujian. Mereka bukan bahan uji kaji.

“Mereka ialah aset negara yang harus diperkasakan. Jangan ada agenda peribadi dan pemikiran sempit dalam sektor pendidikan,” katanya.

Dalam itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata agenda GPMS yang memperjuangkan pendidikan Melayu tidak bererti NGO tersebut rasis dan membenci sistem pendidikan lain dalam masyarakat majmuk Malaysia.

Persidangan tahunan disertai 414 perwakilan turut dihadiri Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa. – WD MY