KOTA BHARU, 3 April – UMUM….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kerajaan Persekutuan memperuntuk sebanyak RM28 juta bagi projek pembangunan dan membaik pulih bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta balai-balai polis di seluruh negeri ini.

Ahmad Zahid berkata peruntukan itu antaranya untuk mengecat semula bangunan IPK, menggantikan lif yang rosak dan membina dewan terbuka yang lebih besar di IPK berkenaan.

Selain itu, katanya, peruntukan itu juga digunakan untuk menaik taraf bangunan lama di IPD dan balai-balai polis di seluruh negeri ini serta kegunaan Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

“Memandangkan Perkep banyak membantu menaikkan semangat anggota dan pegawai polis dalam melaksanakan tugas mereka, peruntukan sebanyak RM50,000 diberi untuk Perkep peringkat IPK manakala masing-masing RM10,000 untuk Perkep peringkat daerah-daerah,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan demikian semasa berucap pada majlis Pemimpin Bersama Warga Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Kelantan hari ini.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 yang bakal diadakan pada bila-bila masa, Ahmad Zahid berkata polis Kelantan hendaklah memastikan tiada insiden berlaku khususnya di kawasan ‘hot spot’ dan kawasan yang dikenal pasti ‘tegang’ di negeri ini.

Sebagai negara demokrasi, beliau berkata polis akan memastikan amalan demokrasi diterjemahkan dengan baik dan lancar.

“Apabila kita mendengar ‘gendang perang’ bagi pilihan raya umum daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), kita sudah bersiap sedia daripada segenap segi,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid, yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Kelantan, menghadiri mesyuarat pengurusan Polis Kelantan bersama-sama Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan dan timbalannya Datuk Din Ahmad. – WD MY