KUALA LUMPUR, 8 April – LAKSANA…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan pasti dapat dilaksanakan.

Ini, katanya berdasarkan rekod BN yang berjaya merealisasikan 99.4 peratus daripada Aku Janji PRU13 lepas.

“Saya harap manifesto yang memberikan aku janji yang meliputi semua susun lapis masyarakat harus diterima baik.

“Kita lihat pencapaian (manifesto) terdahulu, ini memperlihatkan bahawa komitmen ini (Aku Janji PRU14) pasti akan diterjemahkan,” katanya kepada media selepas pelancaran dokumen itu di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Beliau berkata manifesto kali ini bukan sahaja meliputi semua lapisan masyarakat tetapi kemajuan setiap kawasan dari bandar hingga ke luar bandar juga dititikberatkan.

Ahmad Zahid berkata manifesto itu juga merupakan yang paling komprehensif yang pernah dihasilkan.

Beliau sendiri katanya juga terlibat dalam mempengerusikan penghasilan dokumen itu.

“Biarpun saya terlibat dalam penyediaan manifesto PRU12 dan PRU13, manifesto ini cukup komprehensif dan saya fikir ini satu tawaran yang tidak harus ditolak rakyat,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata manifesto BN itu setebal 262 muka surat dan mengandungi 14 tema utama dengan 392 inisiatif meliputi semua lapisan masyarakat.

Mengambil contoh inisiatif untuk wanita, katanya ia merupakan satu pengiktirafan kepada golongan wanita di negara ini dan komitmen kerajaan untuk terus memperkasa mereka. – WD MY