TPM Ahmad Zahid Ziarah Golongan Asnaf Di Daerah Jeli

0
82

JELI, 5 Sept – ZIARAH….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluangkan masa bertemu sekumpulan 23 orang golongan asnaf di Kampung Wakaf Zin, Ayer Lanas di sini sempena lawatan sehari beliau ke Kelantan.

Ahmad Zahid yang tiba kira-kira 5.10 petang di sini turut berkesempatan meluangkan masa lebih setengah jam untuk bertanya khabar dan bermesra dengan tiga pesakit kronik iaitu Muhammad Hasan, 61, dan Nik Esah Tuan Draman, 64, yang diserang angin ahmar, manakala Azizah Samad, 59, pesakit ketumbuhan di leher dipercayai kanser.

Beliau turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM200 masing-masing kepada 23 golongan itu serta tiga pesakit kronik itu, selain menyerahkan topi keledar kepada 25 anggota Pergerakan Pemuda UMNO dari Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kedai Ayer Lanas.

Terdahulu, Ahmad Zahid menunggang motosikal berkuasa tinggi dari Kem Rejimen Sempadan Batu 11, Tanah Merah sejauh 20 kilometer ke Kampung Wakaf Zin, di sini sambil diiringi 600 penunggang motosikal daripada persatuan tersebut. – WD MY