KUCHING, 13 Jan – ZIARAH…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi menziarahi jenazah Tan Sri Celestine Ujang Jilan, yang meninggal dunia pada malam Rabu lalu di sebuah hospital swasta di sini akibat sakit tua.

Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad Zahid meminta anggota keluarga bekas anggota Kabinet negeri Sarawak dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak itu menerima pemergian mendiang dengan hati yang tabah.

Katanya, beliau mengenali mendiang sejak tahun 1989 ketika mereka bersama-sama dalam Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) dan menganggapkan keluarga mendiang seperti keluarga beliau sendiri.

Menyifatkan Ujang sebagai seorang sahabat yang baik dan seorang pemimpin yang berwibawa, Ahmad Zahid turut menziarahi mendiang sebanyak tiga kali sejak beliau jatuh sakit.

Mendiang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kamena dari 1974 hingga 2001 dan pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, Speaker DUN Sarawak serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Tanah sebelum beliau bersara 2001.

Jenazah beliau akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Nirvana, Jalan Kuching-Bau Siniawan pada jam 1.30 tengah hari selepas disembahyangkan di Gereja St Joseph, Kuching. – WD MY