KUALA LUMPUR, 30 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau telah mengarahkan polis supaya meningkatkan lagi usaha memerangi kegiatan perjudian di seluruh negara “memandangkan usaha itu sejak empat bulan lepas dilihat kurang berkesan”.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kegiatan itu perlu diperangi 100 peratus dan beliau tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba melindungi kegiatan judi termasuk anggota dan pegawai polis.

Kata Ahmad Zahid, “Empat bulan sudah langkah-langkah kita lakukan dengan hebat melalui Ops Cantas Khas, kita lakukan pembersihan (rumah-rumah judi) tapi saya dapat laporan tumbuh kembali.

“Bukan sekadar amaran, mana-mana pegawai dan anggota polis, individu, NGO atau kumpulan tertentu yang memberikan perlindungan kepada rumah-rumah judi tidak akan pernah terlepas daripada tindakan,” tegasnya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berucap merasmikan Majlis Jamuan Aidilfitri Warga Perumahan Polis Desa Tasik, malam tadi.

Turut hadir Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan sekurang-kurangnya RM500,000 bagi membaikpulih dan menaiktaraf kemudahan Perumahan Polis Desa Tasik.

Perumahan Polis Desa Tasik merupakan kawasan perumahan terbesar dihuni seramai hampir 6,000 orang terdiri dari pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak. -Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY