KUCHING, 3 Julai – Arah… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun memberi penjelasan kepada Kabinet Rabu ini berhubung keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melonggarkan syarat lulus bahasa Melayu dalam pengambilan pegawai perubatan UD41.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata rasional kelonggaran tersebut perlu diperjelaskan kepada jemaah kabinet pada Rabu ini kerana rata-rata menyuarakan rasa tidak puas hati dengan tindakan yang dilihat mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang digunakan oleh pegawai perubatan.

“Saya akan meminta Datuk (Seri Dr) Subramaniam untuk membuat penjelasan mengenai kontroversi itu dan juga akan meminta menteri yang bertanggungjawab mengenai Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Joseph Entulu untuk memberi maklumat mengikut perspektif JPA,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media ketika melakukan kunjungan Hari Gawai Dayak di kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah di Taman BDC, Stampin di sini hari ini. Katanya, ia adalah bagi pencerahan terhadap isu yang menjadi polemik di akar umbi, terutama di kalangan pejuang-pejuang bahasa kebangsaan.

 

“Bagi saya, perkara ini seharusnya ditangani dengan fikiran terbuka dan kita harus mendengar penjelasan daripada kedua-dua menteri yang berkenaan supaya perkara ini tidak lagi dikontroversikan dan menjadi polemik terutama menjelang hari besar (pilihan raya) sehingga ia dimanipulasikan oleh pihak yang anti-establishment,” kata Ahmad Zahid. – WD MY