CHUKAI, 19 Okt – Bakal Rasmikan Bulan Persediaan…… Daerah Kemaman sudah bersedia untuk menjadi tuan rumah Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahad ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata beliau berterima kasih kerana Kemaman diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah pelancaran bulan kesiapsiagaan yang pertama seumpamanya itu.

Katanya, ia adalah pengiktirafan kepada Kemaman yang sebelum ini menjadi contoh dalam pengurusan banjir di daerah itu.

“Dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) ‘Kemaman Siap Siaga’, kita memberikan fokus kepada persediaan di peringkat akar umbi, serta membabitkan pelbagai pihak dan agensi tempatan.

“Ia juga menggembeling aset penduduk termasuk bot nelayan dan kenderaan pacuan empat roda, selain memperkemaskan sistem komunikasi dan logistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SOP ‘Kemaman Siap Siaga’ sudah diangkat menjadi model nasional bagi pengurusan bencana di peringkat tempatan.

Katanya, majlis pelancaran itu adalah kemuncak kepada program tiga hari di Kemaman Waterfront yang turut menyediakan hampir 30 gerai pameran dan demonstrasi kepada pengunjung. – WD MY