KUALA LUMPUR, 22 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan semua anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah simpan rahsia bagi memastikan kerahsiaan maklumat serta dokumen siasatan jawatankuasa itu sentiasa terpelihara.

Katanya perkara itu telah dibangkitkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan
Sri Pandikar Amin Mulia kerana kerajaan berpendapat amalan angkat sumpah simpan
rahsia itu sebagai perlu.

“Angkat sumpah ini bertujuan mengelakkan berlakunya kebocoran dokumen atau
maklumat siasatan selain itu kita mahu pastikan semua perkara yang dibincang
dalam mesyuarat PAC tidak dibawa keluar.

“Sebarang pernyataan atau laporan hendaklah dibuat secara rasmi oleh anggota
Jawatankuasa PAC dan bukannya pendapat peribadi,” katanya kepada pemberita di
bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, Pandikar Amin yang juga Pengerusi
Jawatankuasa Pemilih Parlimen memaklumkan bahawa perkara itu perlu dirujuk
kepada Penasihat Undang-Undang terlebih dahulu.

Ahmad Zahid berkata sekiranya cadangan itu dilaksana, tidak timbul isu
kerajaan menyembunyikan sebarang maklumat berhubung siasatan yang dijalankan
oleh PAC kerana jawatankuasa itu dianggotai oleh anggota Parlimen daripada
pelbagai parti politik.

“Anggota Jawatankuasa PAC tidak terdiri daripada orang kerajaan sahaja. Ada
daripada pembangkang. Tidak ada yang terkecuali,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa senarai nama anggota
Jawatankuasa PAC Barisan Nasional (BN) yang baharu akan diumum dalam masa
terdekat pada persidangan Dewan Rakyat oleh Pandikar Amin.

Katanya BN telah mengemukakan beberapa nama bagi menggantikan anggota
sebelum ini berlandaskan peraturan yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pemilih
Parlimen.

“Saya tidak perlu umum secara rasmi sebab saya sudah serahkan kepada
Pandikar Amin untuk kemukakan kerana beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa
Pemilih Parlimen,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY