KUALA LUMPUR 25 Nov – Cadang……. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan karya-karya pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) dijadikan teks wajib bagi mata pelajaran sastera di sekolah.
Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha itu boleh dilakukan menerusi kerjasama Kumpulan Utusan dan Kementerian Pendidikan.

“Alangkah bagus kalau Kumpulan Utusan boleh menerbitkan karya-karya itu setiap tiga atau empat tahun supaya ramai penulis menerima honorarium,” katanya ketika berucap merasmikan HSKU 2015 di sini hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, penterjemahan karya bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), sebaliknya perlu dipikul bersama individu yang memiliki kepakaran dalam nilai seni bahasa.

“Lihatlah karyawan dari negara tidak tersohor, selepas diantarabangsakan dan menerima pengiktirafan dunia, akhirnya ia menjadi karya agung. Usaha mengantarabangsakan karya tempatan boleh dilaksanakan secara kolaborasi antara pelbagai organisasi di negara ini.

“Saya turut menyarankan karyawan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi membolehkan karya yang terbaik dijadikan teks wajib bagi mata pelajaran Sastera atau mata pelajaran yang relevan.

“Karya yang menjadi teks wajib itu mungkin boleh digantikan dengan karya baharu setiap tiga atau empat tahun jika tempoh 10 tahun dianggap terlalu lama, …alangkah bagus jika Kumpulan Utusan menjadi penerbit untuk tujuan ini,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil karya bermutu juga seharusnya disiarkan di media sosial selain media konvensional bagi menarik minat khalayak dalam kalangan pengguna medium berkenaan.

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Kewangan memberikan insentif dalam bentuk pengurangan cukai kepada syarikat antarabangsa yang terbabit dengan penghasilan dan pengiktirafan karya sastera tempatan.

Di samping itu, beliau turut meminta masyarakat memberikan pengiktirafan lebih tinggi kepada hasil karya sastera bagi mengangkat martabat dan nilai sesuatu karya.

“Dalam dunia semakin mencabar dengan pelbagai kekangan yang mewujudkan dunia tanpa sepadan, kampung sejagat semakin kecil, langit semakin terbuka, ramai yang mula meminggirkan hasil dan karya seni sastera.

“Kita harus sedar bahawa gambaran masyarakat semasa terlukis daripada penghasilan karya sastera… lihat karya agung sama ada di rantau nusantara atau dunia Eropah, nilai seni masih terus dipegang biarpun sains dan teknologi semakin berkembang.

“Perlu wujud perimbangan antara seni dan nilai metafizikal bagi menuju ke arah kekamilan, …insan yang kamil kesempurnaannya terhasil apabila duniawi dan ukhrawi diimbangkan,” katanya.

Seramai 30 penulis daripada latar bidang diangkat sebagai pemenang HSKU 2015.

HSKU 2015 meningkatkan nilai hadiah bagi kategori Novel Remaja apabila pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM10,000 (dahulunya RM7,000), manakala kedua (RM6,000 – dulunya RM4,500) dan ketiga (RM4,000 – dulunya RM3,000). – WD MY