BAGAN DATOH, 19 Nov -Janji Bantu……. Pengusaha tanaman kontan di sekitar Bagan
Datoh yang terjejas dengan banjir akibat fenomena air laut pasang besar
baru-baru ini akan dibantu, demikian janji Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Jabatan Pertanian
bagi mencari jalan untuk membantu petani terbabit.
“Saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah (Datuk Hamzah Hussin) dan
Anggota Dewan Undangan Negeri untuk melakukan yang terbaik kerana banjir
menyebabkan tanaman kontan mati sehingga pendapatan petani terjejas,” katanya.
Ahmad Zahid, yang juga Anggota Parlimen Bagan Datoh, bercakap kepada
media selepas meninjau mangsa banjir di Kampung Simpang Tiga, Rungkup di
sini hari ini.
Menurut timbalan perdana menteri sebanyak 215 rumah di Bagan Datoh terjejas
akibat banjir sejak dua hari lalu disebabkan hujan lebat dan kesan air pasang
laut pasang besar.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bencana Negara
berkata kawasan berkenaan dilanda banjir kerana kedudukannya yang landai
sehingga menyukarkan aliran air ke kunci air untuk dikeluarkan.
Beliau turut meminta supaya mana-mana titi atau jambatan terutama yang
dipasang laluan air atau ‘calvert’, diubah mengikut spesifikasi ditetapkan bagi
mengelak banjir.
“Jika calvert kecil, ia akan menyebabkan sampah tersangkut sehingga air
tidak dapat mengalir keluar dan seterusnya mengakibatkan banjir. Kita minta
kerjasama orang ramai supaya mempunyai kesedaran sivik mengenai perkara ini,”
katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata beberapa projek
pembangunan terutama untuk mengurangkan banjir akan dilaksanakan di Bagan Datoh
sesuai dengan statusnya sebagai sebuah daerah baharu di Perak. – WD MY