KUALA LUMPUR, 2 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pesuruhjaya Polis
Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng di Xiao En Centre, Cheras hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri disambut bekas Menteri Pelancongan
Tan Sri Ng Yen Yen dan anggota keluarga Yuen sebaik tiba di pusat tersebut
pukul 2 petang.

Ahmad Zahid kemudian bertafakur seminit berhampiran mayat Yuen yang
diletakkan dalam keranda putih dan kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada
anggota keluarga mendiang.

Mendiang terkenal dengan jasanya sebagai salah seorang perunding utama
Rundingan Damai Hatyai, dan bersama dengan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri
Rahim Noor ke China bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng,
Abdullah C.D dan Rashid Maidin.

Malah beliau juga pernah cedera ditembak di dada dalam pertempuran dengan
pengganas komunis di Grik pada 1951 tatkala China Peng setiausaha agung PKM.

Mayat mendiang ditempatkan di Xiao En Centre, Cheras sehingga Sabtu ini bagi
membolehkan anggota keluarga dan sahabat-handai memberi penghormatan terakhir.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY