SANDAKAN, 12 Mac – Penutup…..Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri mesyuarat tertutup bersama pemimpin UMNO di daerah ini.

Mesyuarat turut dihadiri Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO tiba di Sandakan pada jam 10.20 pagi.

Sejurus majlis di Sandakan, Ahmad Zahid dijadual ke Tawau bagi merasmikan Program Karnival Jalinan Kasih anjuran Biro Latihan dan Penyelidikan UMNO Bahagian Kalabakan di Padang Perbandaran, Tawau.

Timbalan Perdana Menteri dijadualkan balik ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat khas, petang ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Datuk Samsudin Yahya, ketika ditemui berkata, dalam mesyuarat tertutup itu Timbalan Perdana Menteri meminta ahli dan pemimpin UMNO dari tiga bahagian iaitu Batu Sapi, Semporna dan Sandakan sentiasa mendekati rakyat.

“Ini antara amanat diberikan Timbalan Perdana Menteri agar sentiasa turun padang dan mendekati rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dalam pertemuan itu juga antara isu lain dibincangkan ialah berkaitan persediaan menghadapi pilihan raya.

“Kami di peringkat bahagian sudah bersiap sedia menghadapi pilihan raya dan sesiapa sahaja yang menjadi calon daripada komponen Barisan Nasional (BN) akan disokong,” katanya. – WD MY