JOHOR BAHRU, 8 Jun – Taksub….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan umat Islam di negara ini mengelak ketaksuban terhadap mana-mana individu hingga menjejaskan akidah, selain mewujudkan Islamophobia dalam kalangan bukan Islam.

Ahmad Zahid menyuarakan kekhuatiran terhadap kumpulan kerana ia boleh boleh mewujudkan kumpulan ajaran sesat.

“Taksub selain terhadap Allah, Rasulullah dan ibu bapa, iaitu yang dituntut boleh menukar atau mengalih akidah kita sehingga wujudkan pengeboman diri sendiri untuk berjihad.

“Ketaksuban turut menyebabkan wujud kumpulan menyalah tafsir ayat al-Quran yang membawa kepada Islamophobia, prasangka dan prejudis terhadap Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Penerapan Nilai Murni Ramadan Bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid al-Mizan, Kempas di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd.

Ahmad Zahid berkata, masyarakat tidak boleh menyalahkan orang lain dengan gejala itu kerana Islamophobia wujud akibat segelintir orang Islam yang merosakkan imej Islam sendiri.

“Saya harap soal ketaksuban dan Islamophobia dapat dielak, seterusnya menterjemahkan Islam sebenar-benarnya dalam negara ini,” katanya. – WD MY