LIMBANG, 20 Mac – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangka undi popular Barisan Nasional (BN) Sarawak meningkat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, seiring dengan populariti Ketua Menteri Tan Sri
Adenan Satem.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak (Unimas)
yang lalu populariti Adenan Satem mencapai tahap hampir 84 peratus pada Januari
2016 berbanding 74 peratus pada Jun 2015.

“Saya amat yakin dengan rekod cemerlang kerajaan Barisan Nasional (BN),
jumlah undi akan meningkat,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat di
Rumah Intai Menuang di sini hari ini.

Zahid berkata, walaupun undi popular BN pada PRN menunjukkan penurunan dari
71.2 peratus pada PRN 2001 kepada 62.9 peratus pada 2006 dan seterusnya menurun
kepada 55.4 peratus pada PRN 2011 namun trend undi popular pada PRN ke-11
dijangka meningkat.

“Saya menjangkakan undi popular BN akan meningkat 55 hingga 60 peratus pada
PRN ke-11,” katanya.

Beliau meminta rakyat Sarawak untuk tidak percaya kepada hasutan orang luar
terutama yang mahu rakyat membenci Ketua Menteri serta kerajaan negeri BN.

Beliau berkata, rakyat Sarawak lebih memahami isu-isu dominan dalam negeri
antaranya isu penurunan kuasa dan tanah adat daripada mempercayai hasutan pihak
luar yang tidak memahami isu setempat.

Beliau memberi jaminan akan memberi perhatian serius terhadap isu-isu yang
diutarakan oleh Ketua Menteri serta wakil rakyat BN Sarawak.

Mengenai masalah penduduk tiada dokumen pengenalan diri, beliau memberi
jaminan akan cuba menyelesaikan masalah dengan membawa khidmat Unit Pendaftaran
Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara ke Limbang.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY