COLOMBO, 22 Julai – Pilih Malaysia Sebagai Destinasi Pelaburan…….Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa lebih ramai pelabur dari Sri Lanka memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpenting mereka.

Katanya, ketika ini jumlah pelaburan syarikat dari Malaysia di Sri Lanka kira-kira AS$2 bilion (RM8.1 bilion) dalam pelbagai sektor.

“Bagi mengimbangi perkara ini, saya berharap lebih ramai pelabur dari Sri Lanka melabur di Malaysia. “Malah, kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif untuk pelabur asing dan mereka seharusnya merebut peluang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Diaspora Malaysia di Sri Lanka dan Rakan Malaysia yang dihadiri kira-kira 200 jemputan di sini, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka juga perlu memainkan peranan memberi penerangan kepada pelabur Malaysia mengenai suasana perniagaan di Sri Lanka.

“Ini kerana kerajaan Sri Lanka juga menyediakan pelbagai insentif untuk pelabur asing,” katanya.

Beliau turut menekankan mengenai hubungan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan Sri Lanka yang mencecah 60 tahun pada 2017.

“Hubungan baik dan kukuh antara kedua-dua negara sudah lama terjalin, malah Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena juga akan melawat Malaysia pada Disember depan,” katanya.

Ahmad Zahid juga berharap lebih ramai rakyat Sri Lanka juga mengunjungi Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan mereka.

Tahun lalu, kira-kira 30,000 pelancong Sri Lanka mengunjungi Malaysia. – WD MY

LEAVE A REPLY