SIBU, 30 Jan – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Lapangan Terbang Sibu, di sini, jam 8.30 malam tadi bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari, di bandar ini.

Ahmad Zahid disambut Menteri Kewangan II Sarawak, Datuk Wong Soon Koh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Abdul Ghani.

Mengiringi beliau bagi lawatan berkenaan adalah Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Bermula seawal pagi ini, Ahmad Zahid dijangka akan melawat dan meninjau kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu di Lanang pada jam 8.45 pagi.

Kemudian, Ahmad Zahid dijangka ke majlis Sambutan Hari Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke-44 Peringkat Kebangsaan Tahun 2016 Dewan Suarah, Sibu, pada jam 11.15 pagi.

Selepas makan tengah hari, beliau dijadual menyempurnakan Majlis Penutupan Program Siswa Komuniti Sarawak (SKS) Rumah Panjang Bungan, pada jam 2 petang.

Pada sebelah malamnya pula, beliau akan menghadiri Majlis Makan Malam dan Perjumpaan bersama Pemimpin-Pemimpin Tempatan di Hotel Kingwood, Sibu, pada jam 7.45 malam.

Program lawatan beliau diteruskan pada Ahad dengan mengadakan tinjauan mesra di Pasar Sentral Sibu pada jam 8.15 pagi. 

Pada jam 10.15 pagi pula, beliau dijadual mengadakan lawatan rasmi ke sekitar Universiti Kolej Teknologi Sarawak sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 12 tengah hari.  – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY