KUALA LUMPUR 6 Nov – Lawatan Kerja Ke UK…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke United Kingdom (UK) selama lima hari bermula esok.

Ahmad Zahid  akan diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis serta pegawai kanan Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tujuan utama lawatan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri untuk memperkukuh dan meningkatkan interaksi serta menjalinkan hubungan kerja yang baik dengan Menteri Dalam Negeri UK yang baharu dilantik, Amber Rudd.

Semasa lawatan kerja ini, Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan ceramah bertajuk ‘De-rooting Radicalism and Extremism’ di Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford.

“Lawatan ini dijangka mewujudkan peluang bagi kedua-dua negara untuk mempereratkan kerjasama dua hala terutama dalam bidang keselamatan, pencegahan keganasan, Brexit, Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) serta isu berkaitan dengan migrasi,” katanya.

Selain daripada pertemuan dua hala, Ahmad Zahid akan mengambil peluang itu untuk mengadakan sesi dialog dengan usahawan UK serta bertemu dengan komuniti dan pelajar Malaysia di London. – WD MY