KINABATANGAN, 16 April – Naik Taraf….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan mempercepat kerja-kerja menaik taraf dan membina bangunan baharu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan memandangkan bangunan sedia ada dalam keadaan daif.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata projek itu sudah disenaraikan dalam Pelan Pusingan Ketiga (RP3) Rancangan Malaysia Ke-11, namun beliau akan berunding dengan jabatan dan agensi berkaitan supaya ia diawalkan ke Pelan Pusingan Kedua (RP2).

“Saya akan berunding dengan Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri) dan saya akan memaklumkan kepada EPU (Unit Perancang Ekonomi) dan Kementerian Kewangan supaya ia diawalkan kepada RP2.

“Apabila saya dapat mempercepat pembinaan (bangunan baharu) IPD Kinabatangan daripada RP3 ke RP2, saya berjanji, saya dan Ketua Menteri (Datuk Seri Musa Aman) akan datang semula untuk menyaksikan majlis pecah tanah,” katanya dalam ucapan ringkas ketika mengadakan perjumpaan bersama pegawai dan anggota serta keluarga IPD Kinabatangan di sini, hari ini.

Turut hadir Musa, Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin, Komander Briged Sabah SAC Zainuddian Samsu Hadi dan Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt A. Sahak Rahmat.

IPD Kinabatangan dibangunkan pada 1974, yang ketika itu berstatus Balai Polis Bukit Garam dan berada di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis bahagian Sandakan Luar Bandar.

Statusnya dinaik taraf kepada IPD pada 1991 sesuai dengan perkembangan dan sosioekonomi.

Pada perjumpaan itu, Ahmad Zahid meluangkan masa kira-kira 25 minit beramah mesra dengan 300 anggota polis dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP).

Beliau juga mengumumkan sumbangan RM20,000 kepada PERKEP bagi menjalankan aktiviti kebajikan persatuan. – WD MY