PUTRAJAYA, 9 Jan – Lawatan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja ke China bermula esok hingga 15 Januari ini atas undangan Kaunselor Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun.

Beliau dijadualkan melawat Beijing dan Kunming sempena kunjungan keduanya ke China sejak menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.

Ahmad Zahid akan diiringi isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, dan pegawai kanan kerajaan daripada kementerian berkaitan.

Timbalan Perdana Menteri dijangka mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri China, Li Keqiang dan menemui Shengkun, selain mengadakan mesyuarat bersama Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat, Parti Komunis China, Meng Jianzhu.

Shengkun dan Jianzhu akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan Timbalan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia pada 11 Januari ini.

Ketika melawat Kunming, Ahmad Zahid akan mengadakan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan Wilayah Yunnan.

Lawatan Timbalan Perdana Menteri ke China kali ini akan memberi memberi tumpuan terhadap memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang keselamatan, usaha memerangi ancaman keganasan, jenayah rentas sempadan serta hal ehwal kepolisan dan penjara.

Beliau juga akan bertukar pandangan dengan pemimpin China mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. – WD MY