PUTRAJAYA, 7 Mei – Lawatan Rasmi…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan lawatan kerja empat hari ke Australia dari 7 hingga 10 Mei dengan tumpuan memperkukuhkan hubungan dua hala dalam bidang keselamatan, usaha memerangi ancaman keganasan dan jenayah rentas sempadan serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini, lawatan julung kali Ahmad Zahid sejak menyandang jawatan timbalan perdana menteri pada Julai 2015 itu adalah atas undangan Menteri Imigresen dan Keselamatan Sempadan Australia Peter Dutton.

Lawatan kerja Ahmad Zahid, yang diiringi Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan daripada kementerian-kementerian yang berkaitan, akan melibatkan Canberra dan Sydney.

Semasa di Canberra, Ahmad Zahid dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull dan Menteri Keadilan Australia Michael Keenan.

Di Sydney, beliau akan membuat kunjungan hormat ke atas Gabenor New South Wales David Hurley dan akan mengunjungi Australian Border Force (ABF) College.

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual menghadiri majlis makan malam bersama pelajar-pelajar Malaysia di Sydney sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, jumlah dagangan Malaysia-Australia meningkat 38 peratus kepada US$1.98 bilion (RM8.84 bilion) berbanding tempoh yang sama pada 2016. – WD MY