KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua agensi mengadakan usaha penyelarasan lebih baik bagi meningkatkan kualiti pengurusan kehilangan upaya untuk golongan pekerja yang menghadapi masalah itu di negara ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun Malaysia sudah mempunyai jaringan keselamatan yang luas dan komprehensif yang disediakan pelbagai agensi dan pertubuhan, semua kemudahan untuk keperluan mereka yang kurang upaya perlu diselaraskan.
“Mungkin, apa yang diperlukan ialah sebuah jendela tunggal perkhidmatan yang
menghubungkan semua kemudahan yang ada,” katanya semasa berucap merasmikan forum
antarabangsa mengenai Pengurusan Kehilangan Upaya 2016 di sini hari ini.

Kira-kira 1,500 delegasi dari Eropah, Australia, Amerika Syarikat, Afrika
dan Asia menghadiri forum tiga hari yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala
Lumpur.

Ahmad Zahid berkata beliau menugaskan Perkeso, yang telah capai kejayaan
membanggakan dalam pengurusan kehilangan upaya sejak 10 tahun lepas, untuk
menerajui dan memudahkan pelbagai agensi dan kementerian.
“Kejayaan cadangan ini boleh dikongsi semua negara, selepas semua pemindahan
pengetahuan yang selama ini telahpun dilakukan oleh Perkeso. Negara-negara jiran
seperti Indonesia, Singapura dan yang berada di dalam benua Afrika telah
mendapat manfaat daripadanya.
“Saya yakin Perkeso akan meneruskan usaha ini dan mengkaji tentang penubuhan
Pusat Kecemerlangan yang didedikasikan Untuk Pemulihan dan Pencegahan dan bagi
melahirkan dan mengintegrasikan lebih banyak perkhidmatan pemulihan di negara
berkenaan, sama dengan Pusat Pemulihan Perkeso yang terkini di Melaka,” katanya.
Ahmad Zahid berkata Malaysia juga akan mendapat manfaat dengan mewujudkan
pelbagai perkongsian strategik dan kerjasama dua hala dengan universiti-universiti terkemuka dan pengamal pengurusan kehilangan upaya di seluruh dunia melalui penyelidikan dan pembangunan, pemindahan pengetahuan dan inovasi. – WD MY