KUCHING, 7 Mei – Ziarah…..Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarah mayat kedua mangsa helikopter terhempas di Hospital Umum Sarawak (HUS), di sini, sebentar tadi.

Beliau beredar pada jam 12 tengah hari dan tidak memberi sebarang kenyataan kepada media.

Mayat kedua mangsa nahas helikopter yang terhempas ditemui kira-kira pukul 8:30 pagi.

Mayat itu sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak di Kuching, menggunakan helikopter Nuri milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 9.30 pagi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Abdul Aziz Yusof, berkata, kawasan pencarian mangsa nahas helikopter kini dikecilkan dari Lingga, di sini ke Pulau Seduku membabitkan kawasan seluas tujuh kilometer persegi susulan penemuan mayat kedua itu.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yakin baki empat lagi mangsa berada dalam radius berkenaan dan pasukan penyelamat kini menggerakkan usaha mencari di kawasan itu.

Katanya, seramai 175 anggota daripada pelbagai agensi ditugaskan mencari baki mangsa yang belum ditemui pada hari ketiga ini. Sebanyak 15 aset air milik pelbagai agensi juga digunakan hari ini.

Beliau berkata, bilangan anggota SAR akan ditambah mengikut kesesuaian jika perlu dari semasa ke semasa.

“Cabaran utama dihadapi pasukan menyelamat adalah keadaan air keruh, selain kawasan berselut yang menyukarkan pasukan penyelam,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY