PUTRAJAYA, 3 Nov – Teliti Cadangan….. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) diminta meneliti cadangan mengadakan mekanisme penetapan harga minyak masak tidak bersubsidi bagi mengelak peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, badan bukan kerajaan (NGO), rakyat dan media perlu bersama-sama menyalurkan cadangan bagi tujuan itu untuk perhatian Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Menteri boleh membawa cadangan yang baik kepada jemaah menteri untuk dipertimbangkan demi rakyat keseluruhan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid mahu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan penguat kuasa KPDNKK meningkatkan kawalan di sempadan bagi mengekang penyeludupan minyak masak ke negara jiran.

“Berdasarkan maklumat, penyeludupan ini berlaku di lorong tikus dan bukan laluan rasmi,” katanya. -WD MY