SHAH ALAM, 31 Mei – Tangguhkan…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom, menangguhkan aktiviti perjumpaan mingguan selepas kejadian letupan di Manchester Arena yang mengorbankan 22 orang minggu lalu.

Ahmad Zahid berkata, penangguhan itu supaya tidak menimbulkan kecurigaan dalam kalangan pihak keselamatan negara itu.

Pada masa sama, pelajar Malaysia juga diminta buat sementara waktu tidak membenarkan pelajar dari negara lain mengunjungi kediaman mereka.

“Biarpun mereka memantau dan melepaskan pelajar kita (di Manchester) namun kita memahami situasi di Manchester kerana Islamophobia berlaku bukan saja di Eropah dan Amerika Utara tetapi (juga) di Manchester di mana ramai masyarakat Islam.

“Saya ada bertemu dalam lawatan kerja dahulu dengan pegawai kanan polis di Manchester yang menjalankan kerjasama ulama dan pemimpin Islam di Manchester.

“Sebenarnya mereka melakukan kerjasama yang baik tapi mungkin disebabkan oleh adanya laporan (mengenai) aktiviti perjumpaan mingguan itu, mungkin ada yang buat laporan tidak baik (terhadap pelajar terbabit),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Penerapan Nilai-nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, di sini, malam ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata beliau berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Manchester dan pelajar berkenaan kini ditempatkan di Malaysia Hall di situ.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga pelajar itu masih lagi trauma dengan penahanan mereka berikutan ketika diserbu, polis Manchester turut memecahkan pintu yang berkunci.

Pada masa sama, Ahmad Zahid juga memberikan jaminan kepada pelajar Malaysia di United Kingdom untuk tidak bimbang dengan siasatan pihak berkuasa negara itu berikutan Kerajaan Malaysia juga mempunyai kerjasama dengan agensi risikan United Kingdom, MI5 dan MI6.

Katanya, pihaknya akan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa negara itu jika ada pelajar yang disyaki terbabit dengan keganasan namun tidak mempunyai rekod berkaitan perbuatan itu. – WD MY