PUTRAJAYA, 8 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Dan Bantuan Bencana Pusat di Bangunan Perdana Putra sebentar tadi.

Hadir sama Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.

Semasa sidang media, Ahmad Zahid mengumumkan bahawa semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pengurusan bencana terutamanya banjir akan dikemas kini berdasarkan situasi semasa untuk memastikan usaha pemulihan berjalan lancar.

Menurut beliau berkata penelitian semula ke atas SOP itu penting bagi memastikan kerja-kerja pasca banjir, termasuk pembinaan semula penempatan dapat dikenal pasti dan dilaksanakan dengan segera.

“Pengurusan bencana bukan sahaja melibatkan fasa tindak balas tetapi juga melibatkan skop pengurusan bencana yang lebih menyeluruh.

“Ia meliputi fasa pencegahan dan peredaan, kesiapsiagaan serta pemulihan dan pembangunan semula,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pada mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu, jawatankuasa memutuskan agar langkah awal bagi menghadapi banjir dapat dilakukan segera termasuk mendalamkan muara dan melebarkan sungai.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan juga sependapat agar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) lebih proaktif menangani masalah banjir.

“Muara sungai yang akan didalamkan telah dikenal pasti. Kita mahu JPS mengambil langkah proaktif dan tindakan pantas,” katanya.

Beliau berkata satu mesyuarat susulan akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari sekarang bagi memastikan ketetapan yang diputuskan hari ini, dapat dilaksanakan.

Ahmad Zahid juga mahu usaha dan komitmen berterusan oleh anggota jawatankuasa meningkatkan kerjasama antara agensi dan kecekapan pengurusan bencana akan dilaksanakan selaras dengan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Beliau berkata kabinet juga bersetuju mengekalkan mekanisme pengurusan bencana negara dengan menguna pakai prinsip perintah dan kawalan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara 20.

“Dengan ini, Polis Diraja Malaysia masih kekal sebagai Komander Operasi Bencana di tempat kejadian, manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat kekal sebagai Timbalan Komander Operasi Bencana,” katanya. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY