NILAI, 30 Mei – Sah…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi mengesahkan bahawa tiga warga Malaysia yang menyertai militan di Filipina terbunuh di Marawi.

Ahmad Zahid mengesahkan seorang lagi rakyat Malaysia, selain Abdul Rahman Asmawi dan Dr Kamsa Yahya, terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di Marawi.

Pengenalan lelaki itu sehingga kini belum dikenal pasti dan pihaknya akan berhubung dengan pasukan keselamatan Filipina untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya mahu mengesahkan, kini tiga rakyat Malaysia terbunuh (dalam pertempuran dengan tentera Filipina) di Marawi dan kita akan dapatkan perincian mengenai identitinya daripada pemimpin tentera negara itu, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Pada majlis yang turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ahmad Zahid menyampaikan sumbangan kepada 20 ibu tunggal dan 91 anak yatim.

Beliau menunaikan solat Maghrib selepas berbuka puasa bersama kira-kira 1,200 penduduk setempat dan warga KDN di Masjid Hussain di Seremban 2 di sini.

Ahmad Zahid akan mengunjungi Masjid Kariah Paroi Jaya dekat sini untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama penduduk setempat. – WD MY