SEPANG, 15 Mac – Perkukuh….. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB)
memperkukuh tahap keselamatan sibernya untuk memastikan tahap keselamatan di
semua lapangan terbang kendaliannya berada di tahap terbaik dengan menjalinkan
kerjasama dengan CyberSecurity Malaysia.
MAHB hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan CyberSecurity
Malaysia, yang merupakan peneraju kepakaran keselamatan siber negara, bagi
kerjasama dalam bidang keselamatan siber terutama berkaitan sistem teknologi
maklumat (IT) di lapangan terbang.
MoU yang ditandatangani Pengarah Urusan MAHB Datuk Badlisham Ghazali dan
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab
itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di
sini.
Majlis menandatangani MoU itu diadakan bersempena lawatan kerja Ahmad Zahid
yang juga Menteri Dalam Negeri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Menurut kenyataan MAHB, CyberSecurity Malaysia melalui persefahaman tersebut
bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan kepada MAHB bagi memperkukuh tahap
keselamatan siber yang akan dijalankan secara berperingkat.

Antara perkhidmatan itu ialah khidmat nasihat berkaitan keselamatan siber
dalam perancangan dan hala tuju teknologi pemprosesan data atau maklumat,
pengurusan insiden keselamatan siber, forensik digital, pembangunan kompetensi
dan keupayaan dalam bidang keselamatan siber, program kesedaran dan pembudayaan
keselamatan siber, jaminan keselamatan dalam talian dan pensijilan produk
keselamatan siber.

Semasa lawatan kerja tersebut, Ahmad Zahid sempat meninjau latihan ‘Table
Top’ keselamatan dan kecemasan MAHB dalam menangani insiden keganasan.
MAHB berkata sesi latihan ‘Table Top’ keselamatan dan kecemasan berkenaan
diadakan secara berkala dari semasa ke semasa.
Terbaru adalah merupakan lanjutan latihan berskala penuh menangani insiden
keganasan yang telah dijalankan di Lapangan Terbang Antrabangsa Kota Kinabalu  tahun lepas.
Latihan sedemikian melibatkan kesemua pihak berkepentingan di lapangan
terbang termasuk syarikat penerbangan dan pihak berkuasa, katanya.
“Ia bertujuan untuk memperkemas persediaan serta menilai kemampuan dan
keupayaan agensi terbabit dalam menangani sebarang situasi keselamatan dan
ancaman di lapangan terbang,” kata MAHB.
Latihan keselamatan itu juga adalah selaras dengan undang-undang yang Ditetapkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), katanya. РWD MY