TPM Sedih Dengan Kemalangan Ragut Pelajar Tahfiz

0
109

KUANTAN, 2 Jun – Patuhi…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemilik maahad tahfiz sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, sekali gus mengelak kemalangan maut membabitkan jumlah yang ramai.

Ahmad Zahid melahirkan rasa  sedih dengan kejadian nahas membabitkan kehilangan nyawa tujuh pelajar tahfiz di Kampung Telekong, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Kuala Krai, Kelantan, pagi tadi.

Mengulas kejadian itu, beliau mahu ia menjadi iktibar kepada semua pihak terutama bagi menjaga kebajikan serta keselamatan pelajar dengan mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan ditetapkan.

“Saya mengingatkan diri saya dan mudhir (pengurusan mahaad tahfiz) bahawa nyawa anak-anak bukan taruhan untuk menyumbat mereka dalam sebuah van melebihi muatan… bukan pertama kali ini berlaku, saya fikir elok kalau kita ikut peraturan serta undang-undang muatan sedia ada.

“Ini soal nyawa, kita cuba selamatkan pelajar maahad tahfiz dalam pelbagai bentuk penyelarasan kokurikulum dan standard piawaian pendidikan.

“Malang tidak berbau tetapi kita boleh elakkan (dengan) tentukan piawaian kenderaan sekolah tahfiz,” katanya pada sidang media selepas Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Timbalan Perdana Menteri di Masjid Tengku Ampuan Afzan, Indera Mahkota di sini, hari ini.

Ahmaf Zahid juga turut mengulas mengenai titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka terhadap Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berikutan tindakan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat itu berucap dalam Masjid An-Nur di Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu, Ahmad Zahid mahu semua pihak terutama pemimpin parti politik bukan Islam supaya mematuhi dan menghormati titah baginda.

“Sultan Selangor sudah banyak kali berkata demikian dan melarang masjid dijadikan oleh ahli politik beragama Islam dan bukan Islam memberi syarahan atau ucapan politik di dalamnya.

“Saya setuju tindakan baginda… sebenarnya bukan sahaja Sultan Selangor murka tetapi sultan yang lain juga murka. Saya harap kejadian ini tidak berulang lagi dan semua pihak patuh dengan titah baginda,” katanya. – WD MY