TAWAU, 15 April – Tiba….  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tiba di sini, hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Ketibaan beliau pada 5.10 petang dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Tawau, disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, anggota Kabinet negeri dan ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemimpin masyarakat.

Esok, beliau akan ke Semporna untuk menghadiri program ziarah kasih di Kampung Labuan Senang Bugaya selain merasmikan Akademi Pengajian al-Quran Semporna.

Selepas itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dijadual menghadiri majlis perjumpaan bersama-sama pegawai dan anggota polis serta keluarga mereka di Ibu Pejabat Polis Kinabatangan.

Beliau juga akan menghadiri pelancaran perdana Unit Seranta FELCRA Bhd dan pelancaran jentera pilihan raya umum Barisan Nasional Kinabatangan sebelum kembali ke Kota Kinabalu.

Pada Isnin, beliau akan menghadiri mesyuarat lembaga penasihat Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) sebelum berlepas pulang ke ibu negara. – WD MY