TAPAH, 27 April – Pelajar Terbaik SPM Terima Komputer Riba…… Malaysian Industrial Development Bhd (MIDF) hari ini menyerahkan komputer riba kepada tiga pelajar terbaik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perak.

Sumbangan diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi pada majlis penutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2016 di sini.

Kenyataan MIDF menyebut, pemberian tersebut antara inisiatif bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan agensi itu.

Dua daripada pelajar itu masing-masing memperoleh 11A+ iaitu R. Mathura dari Sekolah Menengah Kebangsaan Hamid Khan dan Ng Seow Qi dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Shing Chung, Sungai Siput.

Turut menerima adalah Farah Husna Zulkifle dari Sekolah Menengah Sains Tapah mendapat 9A+.

Sepanjang sembilan hari MSAM 2016 yang bermula 20 April lalu, MIDF turut menganjurkan Klinik UPSR di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang melibatkan 250 pelajar dari 13 sekolah sekitar Tapah.

Orang ramai masih berpeluang mengunjungi Pameran MSAM 2016 di Stadium Tun Ahmad Sarji di sini pada hari terakhir esok mulai pukul 10 pagi hingga 2 petang. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY