BAGAN DATUK, 3 Jun – Tingkatkan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pengusaha maahad tahfiz meningkatkan ciri keselamatan premis dan pelajarnya, sekali gus meningkatkan imej institusi pendidikan Islam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pengusaha maahad tahfiz jangan mentadbir institusi berkenaan seolah-olah seperti ‘melepaskan batok di tangga’ sahaja.

Pelbagai isu membabitkan maahad tahfiz seperti kebakaran asrama, kemalangan dengan kehilangan nyawa yang ramai, histeria dan pelbagai isu lain yang memberi imej tidak baik kepada Islam.

“Cukuplah (kejadian) memberi imej tidak baik kepada Islam, sekarang sudah sampai masanya tingkatkan imej Islam,” katanya.

Beliau berucap ketika melancarkan Inspirasi Ramadan, UPSR & SPM YAPEIM Peringkat Kebangsaan 2017M/1438H di Selekoh di sini hari ini.

YAPEIM memperuntukkan RM10 juta untuk ketiga-tiga program Inspirasi Ramadan, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, pengusaha maahad tahfiz sama dikendalikan individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jangan mengambil mudah pengurusan institusi itu atau kebajikan pelajarnya.

Tambah Ahmad Zahid lagi, ibu bapa menghantar anak mereka ke maahad tahfiz, mereka sebenarnya meletakkan harapan yang tinggi terhadap institusi berkenaan. – WD MY