PUTRAJAYA, 7 Jun – Kunjungan Hormat….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Senior Leftenan Jeneral To Lam, di pejabatnya di Perdana Putra, di sini.

To Lam yang dilantik ke jawatan itu pada April lalu, sedang dalam rangka lawatan ke negara-negara ASEAN dengan Malaysia adalah negara pertama yang dikunjunginya.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas pertemuan selama hampir sejam itu, Ahmad Zahid berkata, ia adalah satu penghormatan kepada Malaysia terutamanya selepas kedua-dua negara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Mencegah dan Memerangi Jenayah Rentas Sempadan pada Oktober tahun lalu.

“Menteri To Lam memaklumkan Vietnam akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat pertama Kumpulan Kerja Bersama dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan antara kedua-dua negara yang akan diadakan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, rakan sejawatnya itu turut menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama kepada negara ASEAN yang lain dalam isu tuntutan bertindih ke atas wilayah di Laut China Selatan bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Pendirian Malaysia juga adalah sama, berpegang kepada Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan dan juga dalam prinsip persamaan ASEAN,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY