NEW DELHI, 17 Julai – Tiba Bagi Lawatan Kerja Sulung…… Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini untuk melakukan lawatan kerja tiga hari bertujuan meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Timbalan Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan rombongan tiba
di Lapangan Terbang Antarabangsa Indra Gandhi selepas menghadiri mesyuarat
Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 selama dua hari di Ulaanbaatar,
Mongolia, yang bermula Jumaat.

Ketibaan Ahmad Zahid dan rombongan pada 12.40 tengah hari waktu tempatan
disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di India Datuk Naimun Ashakli Mohammad dan
para pegawai kanan kerajaan Malaysia dalam cuaca redup dengan suhu 27 darjah
Celsius.

Ahmad Zahid dijadual mengadakan mesyuarat pramajlis dengan anggota delegasi
Malaysia sebelum menghadiri majlis jamuan malam yang dihoskan Naimun di
kediamannya di sini hari ini.

Lawatan sulung Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ke India ini
dianggap penting dalam usaha meningkatkan lagi kerjasama dua hala Malaysia-India
dalam pelbagai bidang dan isu kepentingan bersama.

Timbalan Perdana Menteri dijadual mengunjungi Perdana Menteri India Narendra
Modi pada Isnin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, juga dijadual mengadakan
pertemuan dengan rakan sejawatan beliau dari India, Rajnath Singh, pada hari
sama.

Jadual ketat menunggu Ahmad Zahid pada hari terakhir lawatan beliau
(Selasa), termasuk menerima kunjungan hormat Menteri Industri Negeri Telengana,
K.T Rama Rao, sebelum mengadakan mesyuarat dengan Menteri Hal Ehwal Luar India
Sushma Swaraj dan Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval.

Ahmad Zahid dijadual mengakhiri jadual kunjungan beliau dengan melawat Pusat
Pemprosesan Visa Global VFS di Istana Nehru.

Beliau kemudian dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira
Gandhi untuk melakukan lawatan kerja dua hari ke Sri Lanka pada Khamis. – WD MY

LEAVE A REPLY